Saturday, January 4, 2014

Bila Dah Minat

Salam sejahtera...

Apa minat anda?, mesti berbagaikan. Abg long sendiri pun ada minat tersendiri yang tu biar lah rahsia :). Percaya tak jika abg long kata kan kerana minat semuanya dah tak dihiraukan atau pun di kisahkan. Kenapa tak percaya? Cuba baca apa yang abg long kongsikan di bawah :

Miliki koleksi bernilai RM50,000

 

Masih ingatkah pembaca me­ngenai filem dan sekuel Star Wars yang berjaya menarik ratusan ribu peminatnya di Malaysia dan antarabangsa?
Bermula daripada A New Hope (1977), The Empire Strikes Back (1980), Return of the Jedi (1983) disusuli The Phantom Menace (1999), Attack of the Clones (2002), Revenge of the Sith (2005) sehinggalah siri seterusnya yang masih dalam pembikinan.
 
Impak daripada filem itu berjaya menyemai rasa minat terutama dalam kalangan kanak-kanak untuk mendapatkan watak figura filem berkenaan.


Malah, ia turut mengubah minat seseorang sehingga berjaya mengumpulkan semua figura dalam sekuel Star Wars, daripada watak Darth Vader, Obi-Wan Kenobi, Anakin Skywalker, R2-D2, C-3PO dan Yoda sehinggalah ke kapal angkasa dan peralatan menembak.
Foto




Watak yang pelbagai dikuasai dengan kemunculan Darth Vader atau nama sebenarnya Anakin Skywalker muncul sebagai watak antagonis utama dalam trilogi asal dan watak protagonis dalam sekuel trilogi.

Watak ciptaan George Lucas itu mula berkembang ke seluruh dunia selepas diperkenalkan pula menerusi siri televisyen, permainan video, novel, sastera dan komik.

Peralihan watak daripada baik kepada jahat membuatkan ia mencuri lebih banyak tumpuan seiring kemunculan Luke Skywalker iaitu watak hero dan Jedi yang menentang Darth Vader.

Sebagai watak fiksyen dan protagonis utama trilogi filem asal Star Wars, Luke Skywalker dikenali sebagai pejuang pemberontakan menentang Empayar Galactic yang juga adalah anak kepada Jedi, Darth Vader (Anakin Skywalker) dan ibunya, Ratu Amidala.

Pertambahan watak dan sekuel filem itu yang digarap sehingga ke hari ini membuatkan hobi mengumpul dan menyimpan figura Star Wars tidak dianggap sia-sia, malah semakin berkembang kerana masih ramai meminati filem berkenaan.

Begitulah pendapat dilontarkan pengumpul figura Star Wars, Azwanijaya Sukarman, 38, dari Klang, Selangor yang mula menjadikannya sebagai koleksi hobi serius selepas menonton filem itu sejak kecil.

Sebagai permulaan, dia menerima hadiah figura daripada ibu, bapa dan ahli keluarga yang lain sewaktu kemunculan pertama kali filem itu dalam negara.

“Namun, ia menjadi hobi yang serius sewaktu zaman remaja, apatah lagi menerima galakan dan persai­ngan daripada rakan sebaya yang turut mempunyai hobi sama,” katanya.

Menurutnya, untuk mencari figura yang belum dimiliki tidaklah sesukar mana kerana sebagai pengumpul, dia perlu mengetahui syarikat yang mengeluarkan figura terbabit seperti Kenner Products yang kemudiannya diambil alih syarikat Hasbro, Sideshow dan Kotobukiya.

Katanya, ketika itu jualan figura terbabit agak terhad dan hanya boleh didapati di sekitar Ampang Park dan Plaza Yow Chuan (kini The Intermark).

Justeru, bagi memperoleh figura yang sukar diperoleh di negara ini, dia cuba mendapatkannya secara atas talian sama ada menerusi Facebook (FB), Amazon.com atau eBay Inc.

“Sekarang sudah banyak syarikat yang mengeluarkan koleksi Star Wars dan pengumpul lebih mudah untuk mendapatkannya di gedung beli-belah terkenal atau di pusat jualan permainan kanak-kanak seperti Toys ‘R’ Us atau Hamleys.

“Pengumpul juga gemar bertukar-tukar koleksi se­sama rakan kerana adakalanya, seorang pengumpul mempunyai lebih daripada dua figura yang sama.

“Jadi tidak sukar untuk mereka melepaskannya begitu saja jika kita membelinya dengan harga yang berbaloi,” katanya yang juga seorang guru di sekolah menengah.

Menurut Azwanijaya lagi, figura Star Wars yang dikumpulnya datang dalam pelbagai saiz, bermula daripada 2.54 sentimeter (sm), 7.62sm, 10.16sm, 15.24sm dan 30.48sm, selain koleksi arca.

“Semuanya dalam bentuk sedia ada kerana saya tidak mengumpulkan figura yang memerlukan kita mencantum atau mewarnakannya,” katanya.

Harga bagi setiap figura pula katanya, berbeza kerana ia mengikut saiz dan syarikat yang mengeluarkannya.

“Contohnya, Hasbro menerusi semua watak Star Wars dijual bermula RM42 hingga RM85 manakala Sideshow menjual figuranya daripada RM500 dan ke atas.

“Terpulang kepada peminat sekiranya berminat dengan koleksi begini kerana figura Star Wars bukan saja terhad kepada watak manusia dan robot saja.

“Ia meliputi kapal perang, pertahanan dan pe­ngangkutan seperti Spaceship X-Wing, TIE Fighter, TIE Interceptor, V-wing Starfighter atau Nimbus Fighter, Republic Gunship, Millenium Falcon, All Terrain Armored Transport (AT-AT) Imperial Walker, Snowspeeder dan pelbagai variasi Jedi Starfighter,” katanya.

Azwanijaya juga me­ngumpul barangan lain yang memaparkan logo dan figura Star Wars seperti buku, poster, cakera padat, cakera video digital dan komik.

“Malah, rakan seperjua­ngan turut menjadikan gelas, botol dan tin minuman, kafling serta pelekat Star Wars sebagai hobi terkumpul,” katanya yang mempunyai lebih 300 koleksi Star Wars.

Dia membelanjakan hampir RM50,000 bagi mendapat­kan semua figura Star Wars serta pelbagai koleksi lain yang turut menarik perhatiannya seperti GI Joe, Thundercats, Alien, Predator, Batman, Transformers, Zoids dan watak adiwira keluaran Marvell.

Isterinya, Shaireena Basri, 37, turut memberikan beberapa bentuk figura aksi dan kapal sebagai hadiah istimewa untuknya.

Selain itu, dia mengang­gotai Kelab Star Wars Fanboys Malaysia yang kini mempunyai kira-kira 500 ahli dari seluruh negara dengan majoriti di sekitar Lembah Klang.

Tentu sekali ia menghimpunkan semua peminat dan pengumpul figura Star Wars. Mereka aktif mengadakan perjumpaan untuk bertukar-tukar fikiran dan barangan serta suai kenal ­dengan ahli baru sama ada di The Curve, Damansara atau di Amcorp Mall, Petaling Jaya.

Sambutan yang menggalakkan itu akhirnya membawa kepada satu perjumpaan secara besar-besaran di antara ahli kelab bersama figura masing-masing di The Curve, baru-baru ini.

 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
>