Tuesday, February 25, 2014

Tidur Sekejap Waktu Siang

Salam sejahtera,

Abg long nak ingin kongsi dengan anda satu info grafik berapa lama waktu diperlukan untuk tidur di siang hari.


Disini jugak abg long kongsikan satu artikel untuk bacaan anda berkenaan Tidur Sekejap ini.

SESETENGAH kita menganggap bahawa tidur sebentar pada waktu siang adalah sifat orang malas atau menganggap rutin tidur sebegini mengganggu kesihatan. Namun, sedarkah kita bahawa tidur pada waktu siang adalah suatu amalan harian yang dipraktikkan masyarakat di negara Barat mahupun umat Islam sejak dulu.

Ia dianggap sebagai praktikal untuk menyegarkan semula badan dan minda yang juga dipanggil sebagai 'power nap'. Peri pentingnya isu ini menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat membangunkan 'National Sleep Disorder Association' sebagai agensi khas untuk mengkaji dan menghebahkan kesan positif tidur di waktu siang kepada semua pihak.

Sebagai golongan pekerja di dalam pelbagai sektor, perkara ini perlu diambil perhatian walaupun budaya tidur sekejap waktu siang ini belum begitu popular di negara kita.

Bayangkan daripada pagi hinggalah ke petang kita terlalu fokus kepada tugasan dan kerja sehingga kita lupa untuk memberikan tubuh badan dan minda kita waktu rehat yang optimum dengan kaedah yang tepat.

Banyak kajian yang dilaksanakan sarjana dalam mengkaji kesan tidur sebentar pada waktu siang. Mereka juga menghasilkan bahan ilmiah yang memberikan mengenai kebaikan tidur pada waktu siang ini.


Contoh buku popular yang boleh diperoleh di pasaran adalah seperti buku The Art of Napping at Work karya Anthony dan Anthony; Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping oleh Dinges dan Broughton . Sarjana ini cuba menghimpunkan bukti secara saintifik mengenai kebaikan tidur sebentar pada waktu siang terutama bagi pekerja mengekalkan produktiviti kerja seharian yang mantap.

Dikatakan waktu tengah hari adalah masa paling sesuai untuk tidur seketika. Sistem pekerjaan yang kebiasaannya memperuntukkan waktu rehat pada waktu tengah hari perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk tidur sejenak selain daripada makan tengah hari, berbual-bual dengan rakan, melayari internet dan sebagainya.

Pada masa inilah sistem badan manusia bersedia untuk memanfaatkan fasa berehat yang berjam-jam keletihan dipengaruhi oleh faktor suhu persekitaran serta pendedahan dan penggunaan tenaga fizikal dan mental ketika bekerja.

Keletihan bekerja memuncak pada waktu tengah hari yang boleh mendorong seseorang pekerja mempunyai perasaan tidak tenteram, tidak fokus, mengantuk dan mudah marah. Fasa tengah hari ini dipanggil oleh sarjana sebagai fasa kelesuan pada pertengahan hari. Tempoh untuk tidur pula dikatakan sesuai dalam lingkungan 30 hingga 40 minit.

Tidur berlebihan akan menyebabkan gangguan kepada tubuh badan yang akan menjadi lesu dan malas untuk bekerja semula.

Dari segi fizikal, tidur sekejap pada waktu siang secara berkala membantu dalam menyegarkan otak yang memerlukan oksigen yang cukup untuk berfungsi, memperbetulkan semula fungsi jantung dan kapilari darah dalam pengaliran darah dan oksigen, memperbaiki sel-sel badan dan mengendurkan otot yang digunakan secara aktif ketika bekerja. Daripada aspek kesihatan mental dan psikologi pula, minda dan perasaan akan menjadi lebih tenang daripada stres sebaik bangun daripada tidur dan bersedia untuk melaksanakan kerja dengan lebih produktif dan berkesan.

Dari perspektif Islam, tidur pada waktu siang turut diiktiraf sebagai salah satu amalan yang baik. Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa 'hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur sekejap pada siang hari kerana ia membantu ibadat pada malam hari seperti sahur membantu puasa pada siang hari'. Tidur sekejap pada waktu siang bertujuan menyegarkan semula bukan saja jasmani, malah rohani seseorang untuk beramal ibadat dan melaksanakan rutin hariannya.

Atas kesedaran mengenai implikasi positif daripada tidur sekejap waktu siang ini, banyak organisasi di Barat yang menggalakkan pekerja untuk mengamalkannya. Sehingga ke satu tahap, dikatakan terdapat majikan yang menyediakan ruang yang khas untuk tidur sementara (yang lengkap dengan kerusi malas, kusyen, tuala muka dan haruman) bagi pekerjanya selain daripada pantri atau kantin.

Majikan atau pengurusan organisasi diharapkan faham akan keperluan rehat pekerja. Cuba elakkan untuk mengadakan mesyuarat atau memberi sebarang tugas kepada pekerja sehingga mengganggu waktu rehat tengah hari mereka.

Begitu juga dalam kalangan pekerja yang perlu mengikis pandangan serong apabila terjumpa rakan yang tidur di pejabat dan tidak memberikan banyak masa untuk makan atau bersosial pada waktu rehat. Begitu juga dengan pelanggan di kaunter perkhidmatan yang perlu faham dan tidak bersungut apabila sesetengah kaunter ditutup untuk memberi ruang rehat seadilnya kepada semua pekerja.



Sumber

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
>